Membaca adalah jambatan ilmu. Tanpa ilmu manusia tidak akan berjaya. Membaca adalah amalan mulia di sisi pandangan Islam. Membaca dapat memberikan banyak faedah kepada kita.
Antaranya ialah dapat menambahkan ilmu dalam pelbagai bidang. Bagi seorang murid membaca dapat menambahkan pengetahuan am dalam pelbagai bidang ilmu. Dari sudut ilmiah, membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang yang dipelajari seterusnya akan lahirlah generasi cerdik pandai dan para cendiakawan dalam bidang-bidang tertentu seperti perundangan, perubatan, astronomi, agama, kesusateraan dan lain-lain.
Selain itu, dengan membaca buku kita dapat mengukuhkan pemahaman dalam sesuatu pelajaran. Membaca juga dapat memperbetulkan kesalahan ejaan. Membaca akhbar juga penting untuk kita mengetahui isu semasa yang sedang berlaku di dalam dan di luar negara.
Membaca dapat memperbaiki penguasaan dan penggunaan bahasa serta menambahkan kosa kata. Tabiat suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata. Contohnya, semakin banyak kita membaca semakin tinggi keyakinan kita untuk berucap di khalayak ramai dengan menggunakan bahasa dan perbendaharaan kata yang tepat.
Di samping itu, membaca juga dapat mengisi masa lapang. Bahan bacaan yang berfaedah dapat memberikan hiburan dan keseronokan kepada kita. Misalnya, kita membaca buku cerita, sudah tentulah dapat menghiburkan hati.
Membaca buku dapat mengelakkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial. Akhir sekali, kita dapat belajar daripada cerita-cerita yang bermoral.
Kesimpulannya, membaca sangat penting dalam hidup manusia kerana masa hadapan kita akan ditetentukan melalui tahap pengetahuan dan penguasaan ilmu dalam diri kita.